Suatu hari ketika
Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya
masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis
tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah
malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku
yang celaka ini.
Sejak dari pagi
lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh
badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi
memberi curahan air walaupun setitik." Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah
berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak
diberikan kepada orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah orang itu, dia
terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu
meneruskan perjalanannya.
Dalam pada itu, si
malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui
dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka,
nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis,
"Hai
manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah
atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan
cubalah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh.Jangan suka berputus asa,
hai kawan, tetapi berusahalah terus."
Pada keesokan
harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu
kedengaran lagi, "Ya Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah,
sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti kelmarin,sekadar untuk
menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan
lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku." Mendengar keluhan itu
lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan
secebis kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan
perjalanannya.
Orang itu terlalu
riang sebaik sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya. Seperti
dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya,
"Hai
kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha.
Perbuatan demikian 'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan
Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan
bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan….jangan berbuat demikian.Hendak
senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin
datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau
disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan
perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengkabulkan
doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk
kesenangan dirimu.
Berikhtiarlah
sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. Insya Allah, akan dapat juga
pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah…carilah segera pekerjaan,
saya doakan lekas berjaya." Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu,
dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak
suka berikhtiar dan berusaha.
Pada keesokan
harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari
itu, sikapnya pun berubah mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan
tidak lagi melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu. Dalam Islam tiada
istilah pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal
sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita
tersadai di tepi jalan.
0 komentar:
Jangan lupa tinggalkan komentar anda disini dan gunakan kata-kata yang baik dalam berkomentar
dan saya menolak debat kusir
terima kasih